REFLEKSI AHLI KUMPULAN - HAFIZ AMZAR

Tamat sudah program Jalinan Masyarakat. Penat namun puas kerana saya rasakan satu kejayaan. Hasil usaha sekumpulan yang dilakukan dengan jayanya. Walaupun banyak halangan dan cabaran yang kami lalui sepanjang projek ini, namun itu menjadi suatu pengajaran yang menjadikan kami lebih dewasa. Konsep sukarelawan bukanlah suatu benda yang asing bagi saya kerana saya pernah terlibat dengan beberapa projek sukarelawan sebelum ini. Namun begitu, saya menganggap projek Jalinan Masyarakat ini merupakan satu perkara yang mencabar dari segala aspek. Walaupun kita sudah mempunyai pengalaman dalam sesuatu perkara, tidak semestinya benda itu akan menjadi mudah jika kita lakukan semula. Ini kerana terdapat aspek-aspek yang tidak dapat kita kawal. 

Setiap projek perlulah bermula dari segi perancangan, di mana kami perlu menubuhkan satu kumpulan yang terdiri daripada individu-individu yang datang daripada latar belakang yang berbeza. Pada mulanya, kumpulan kami telah bersetuju dengan sebuah projek yang melibatkan gelandangan. Namun setelah berbincang semula dengan penyelia kami, kami bersetuju dengan projek di Sekolah Kebangsaan Puchong Utama 1 ini. Secara ringkas, kami akan terlibat dalam sebuah karnival anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru SKPU 1. Tugas kami adalah untuk mengumpul dana bagi PIBG SKPU 1 untuk kegunaan di masa hadapan. Sewaktu perancangan, kami telah bersetuju untuk mengadakan booth Simulasi Formula 1, Face Art dan memanah. Dalam masa yang sama, kami juga perlu membina satu pagar jalan sehala untuk menggantikan pagar yang sama di sekolah tersebut. Beberapa hari sebelum karnival, saya dan rakan sepasukan datang ke sekolah untuk menyediakan tempat dan juga mencuba perkakas dan item yang akan digunakan pada hari karnival.

            Pada hari karnival, saya terlibat untuk menjaga booth Simulasi Formula 1. Pada saya ini adalah satu perkara yang menarik. Pelajar-pelajar SKPU 1 yang rata-ratanya berusia dalam lingkungan 7-12 tahun sangat tertarik dengan simulasi ini. Mereka dapat merasakan sendiri seperti memandu kereta Formula 1 sebenar di litar. Ada beberapa sebab kami datang dengan idea untuk membuka booth simulator. Yang pertama, pelajar-pelajar masa kini sudah tentu minat dengan teknologi dan kami rasa ini adalah suatu benda yang baik, kami dapat mengajar mereka aspek-aspek kejuruteraan yang terlibat dalam perlumbaan. Saya akui bahawa kadang-kadang susah untuk mengawal mereka kerana mereka muda dan mempunyai banyak tenaga, namun itu adalah satu cabaran buat saya dan rakan sepasukan. Dalam masa yang sama, sebagai ketua kumpulan, saya juga memastikan semua ahli kumpulan saya bekerja dalam sebuah pasukan untuk menjayakan karnival tersebut. 

Pembuatan pagar jalan sehala merupakan satu cabaran yang besar juga buat kami. Hampir kesemua daripada kami tidak pernah bertukang dan masuk ke dalam bengkel. Namun atas bimbingan Pak Cik Mokhtar dan juga Encik Norhafizan, kami berjaya menyiapkan pagar tersebut. Pagar ini adalah kesinambungan daripada pelajar Universiti Malaya yang lepas, kami cuma membuat pagar yang baharu atas permintaan pihak SKPU 1 kerana pagar yang lepas tidak melakukan kerja yang baik.

Akhir kata, saya berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat, yang membimbing kami dalam menjayakan segala projek kami.

Comments

Popular Posts